Detik 16 Mei adalah detik yang sangat bermakna kepada warga negara Malaysia yang bergelar guru. Sama ada guru tadika, guru sekolah rendah, guru sekolah menengah dan guru agama, mereka adalah guru.
Pengorbanan guru tetap akan dilafazkan dan dijelmakan setiap kali menjelang 16 Mei pada setiap tahun. Jasa guru akan disebut-sebut oleh pihak pemerintah sehinggalah kepada murid-murid yang masih bersekolah. Guru akan dilihat sebagai lilin yang sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain.
Allahyarham Dato’ Usman Awang pernah menulis sebuah sajak bertajuk Guru Oh Guru pada tahun 1979 yang didedikasikan kepada guru-guru yang terus menabur bakti dan jasa. Diantaranya ;
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Bagi saya, sejak berkecimpung dalam pendidikan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sejak tahun 2000, saya sunggup kagum dengan pengorbanan mereka yang sanggup menyerahkan diri kepada PASTI sebagai tenaga pengajar. Mengajar di PASTI tidak sama dengan mengajar di tadika kerajaan ataupun swasta yang lain.
Ketika mula-mula saya berada didalam PASTI, saya agak hairan dengan guru-guru PASTI yang masih mampu berdiri kukuh memperjuangkan pendidikan dan masa depan PASTI walaupun mereka terpaksa menempuh pelbagai kesukaran, kepayahan dan keperitan. Elaun yang rendah, prasarana yang kurang, kebajikan yang sederhana dan kadang-kadang terpaksa menguruskan pentadbiran PASTI.
Pernah satu ketika saya bertanya kepada seorang tokoh guru di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia tentang elaun yang diterima sebagai seorang guru. Beliau menyatakan bahawa elaun pada tahun 2006 adalah sangat memuaskan berbanding tahun sebelumnya. Saya bertanya berapa elaun yang diterima pada tahun 2006? Beliau dengan rasa penuh bersyukur menyatakan bahawa elaun yang diterima untuk mengajar di PASTI adalah sebanyak RM 278!. Ya Allah! Hebatnya guru PASTI.
Pengalaman diamanahkan sebagai Pengerusi Penaziran PASTI Pusat telah memberikan ruang kepada saya untuk membuat lawatan ke PASTI di seluruh negara. Pegalaman yang saya kecapi dalam meneliti kehidupan seorang guru PASTI yang rata-ratanya meletakkan kepentingan PASTI lebih utama daripada diri mereka sendiri tidak mudah untuk kita lihat kepada guru-guru yang mengajar ditempat lain.
No comments:
Post a Comment